Skip to content
Home Bayi Pramatang Dan Bagaimana Untuk Selamatkannya?

Bayi Pramatang Dan Bagaimana Untuk Selamatkannya?

Cabaran ibu yang melahirkan anak pramatang memang tidak sama dan sedikit berbeza berbanding dengan anak yang dilahirkan secara normal.

Biasanya anak yang lahir pramatang ini akan tinggal lebih lama di wad bagi tujuan berikan bekalan oksigen yang cukup padanya. Dia tidak seperti anak anak lain. Paru-parunya masih terlalu lemah. Dia memang perlukan sokongan lebih dari alat bantuan di hospital.

Ibu usah khuatir dengan apa yang menimpa anak. Ini adalah yang terbaik buat anak kita. Juga ujian buat ibu dan ayah.

Walau ada wayar dan tiub berselerak pada anak. Yang membuatkan ibu rasa takut. Mana tak takut. Takut tersilap pegang wayar, nyawa anak terbang pula kan. Kalau saya pon, saya rasa seram ya amat.

Ibu mungkin berasa bersalah kerana dirinya tak dapat kandungkan anak sehingga cukup tempoh masa. Ada kalanya ibu rasa lagi sedih apabila ibu terpaksa dibedah awal dan lahirkan anak akibat keselamatan diri ibu dan anak sedang terancam.

Apabila dalam tempoh baru saja melahirkan ni ibu alami masalah kemurungan ini, ia boleh mengakibatkan kesan yang semakin teruk. Jadi ibu perlu cuba untuk lebih tenang dan sabar dalam menghadapi ujian ini. Insyaallah anak akan selamat. Dia hanya perlukan sokongan lebih dari biasa.

 

 

Waktu ini, sokongan dari insan terdekat terutama dari suami dan keluarga sangat diperlukan. Bapa boleh ziarah anak di unit rawatan rapi mahupon di wad andai ibu tidak larat untuk turut serta. Bapa boleh menceritakan pada ibu perihal anaknya.

 

Biasanya di waktu ini ibu tersangat lebih. Perasaannya makin sedih apabila langsung tidak dapat melihat mahupon mendukung dan menyusukan anak di kala itu. Bapa boleh usaha untuk ambil gambar anak untuk meyakinkan ibu yang anak dalam keadaan selamat. Boleh juga temuramah doktor untuk pastikan ibu makin percaya yang anaknya ok ok saja. Pasni get ready lah doktor kena interview hehe.

 

Bagaimana Kategorikan Sebagai Bayi Pramatang

 

Bayi pramatang biasanya dikenali sebagai bayi tak cukup bulan. Bayi ini dilahirkan kurang dari usia kandungan 37 minggu. Ada yang lahir beberapa hari je lebih awal dari 37 minggu. Ada juga yang lahir jauh lebih awal dari itu dan mempunyai berat badan yang sedikit.

 

Terdapat beberapa terminologi berkaitan bayi pramatang yang perlu kita tahu. Terutamanya ibubapa.

 

  1. Bayi kurang berat badan (Low birth weight, LBW)

Bayi ini beratnya kurang daripada 2.5 KG.

2. Bayi terlalu kurang berat badan (Very low birth weight, VLBW)

Berat bayi kurang dari 1.5 KG

3. Berat bayi kurang dari 1 KG disebut kekurangan berat badan yang ekstrem (Extreme low birth weight, ELBW)

  • Dulu dulu lebih kurang puluhan tahun dahulu, bayi pramatang kategori ELBW ini tidak mempunyai peluang yang tinggi untuk hidup
  • Namun, dengan perkembangan teknologi dan kepakaran dalam bidang perbidanan dan neonatal, semakin ramai bayi pramatang kategori ini berjaya diselamatkan.

Apa Perhatian Yang Diperlukan Oleh Bayi Pramatang?

 

Bayi pramatang memerlukan perhatian lebih berbanding bayi yang dilahirkan cukup bulan. Bayi pramatang memerlukan nutrisi dan jagaan berbeza. Ini kerana bayi pramatang belum bersedia melalui kehidupan di luar rahim. Sebab itulah jagaan rapi perlu diberikan kepada mereka.

 

Usus mereka masih belum matang. Sistem pertahanan juga belum terbentuk dengan lengkap dan perkembangan otaknya memerlukan perhatian yang serius. Keperluan bayi pramatang juga berbeza berbanding bayi lain. Ada bayi pramatang yang terpaksa mendapat bekalan makanan terus ke dalam saluran darahnya melalui tiub.

 

Bayi pramatang makin sihat

 

Selepas bayi stabil, barulah dimulakan pemakanan melalui tiub ke dalam perutnya melalui lubang ataupon mulut (tube feeding, gavage feeding). Memberi makanan melalui mulut (botol, cawan, atau penyusuan ibu) akan dilakukan apabila bayi sudah bersedia.

 

Nutrisi bayi pramatang perlu membantu bayi dalam tumbesarannya, melawan jangkitan, dan memberi manfaat jangka panjang kepada kehidupan bayi pada masa hadapan. Semasa di dalam kandungan, sumber nutrisi adalah daripada uri yang bersambung dengan ibu, kini talian hayat itu sudah tiada. Mereka perlu mendapatkannya daripada tiub dan wayar disambungkan ke badannya.

 

Susu Ibu Bukan Sekadar Makanan

 

Kajian demi kajian telah menunjukkan yang susu ibu adalah susu terbaik untuk diberikan kepada bayi pramatang. Walau bayi ni tak mampu untuk menghisapnya sendiri. Segala alat bantuan boleh digunakan untuk sampaikan susu ibu kepada dirinya. Susu ibu sangat bagus dalam memastikan bayi pramatang ni dapat yang terbaik. Dalam beberapa keadaan, susu ibu mungkin perlu ditambah dengan bahan tambahan bagi memenuhi keperluan bayi itu.

 

Komposisi susu ibu bagi bayi pramatang adalah berbeza dari susu ibu untuk bayi biasa. Ini kerana keperluannya juga berbeza.

 

Apa Kelebihan Susu Ibu Untuk Diberi Kepada Bayi Pramatang?

 

Susu ibu lebih senang dihadam dan bayi dapat minum susu ibu daripada tiub tanpa banyak masalah berbanding bayi yang minum susu tiruan. Buah pinggang lebih senang memproses susu ibu berbanding susu tiruan.

 

Susu ibu juga padat dengan sumber melawan jangkitan yang diperlukan oleh bayi pramatang. Ini mengurangkan risiko bayi menghadapi jangkitan usus yang serius seperti Necrotizing Enterocolitis yang boleh membawa maut. Bayi pramatang sangat memerlukan kolostrum untuk kesihatannya walaupon hanya dapat diminum beberapa hari selepas bayi dilahirkan.

 

Susu ibu lebih mudah dihadamkan lemaknya kerana adanya enzim lipase. Lemak adalah sumber utama bayi pramatang. Susu ibu ni juga membantu dalam mengurangkan risiko masalah penglihatan yang dihadapi oleh bayi pramatang (retinopathy of prematurity).

 

Bayi pramatang dalam incubator

 

Susu ibu ini mengandungi nutrisi yang dapat membantu ususnya menerima makanan daripada mulut dan mengelakkan bayi sering muntah. Ia juga menggalakkan perkembangan otak dan intelektual yang lebih baik berbanding susu tiruan kerana susu ibu mengandungi asid lemak dan hormon-hormon yang penting untuk pembentukan otak.

 

Ini antara kelebihan susu ibu. Banyak lagi bahan-bahan dalam susu ibu yang dapat membantu bayi pramatang membesar dengan optimum. Hormon-hormon tumbesaran membantunya membesar mengikut keperluannya dan bahan melawan penyakit pula melindungi bayi daripada persekitaran yang membawa mudarat.

 

Susu ibu bukan hanya disebut sebagai makanan buat bayi, namun ia juga sebagai ubat untuk bayi.

 

Bagi ibu pula, membekalkan susu kepada bayi adalah terapi yang sukar dicari. Ibu berasa dirinya penting dan diperlukan oleh bayi. Boleh reda perasaan risau dan rasa bersalahnya walaupon dia sebenarnya bukan bersalah. Ibu sahaja yang mampu memberikan cecair berharga buat anaknya. Doktor memang dapat berikan segala rawatan untuk bayi, tetapi hanya ibu yang dapat memberi susu ibu kepada bayinya. Ini akan meningkatkan keyakinan ibu bagi menjadi ibu kepada bayinya dalam erti kata yang sebenar.

 

Hubungan Antara Ibu Dan Bayi Pramatang

 

Mula mula lahir tu bayi pramatang akan berjauhan dari ibu. Mungkin berbulan-bulan lamanya hinggalah habis waktu berpantang ibu. Kiranya macam ibu berpantang seorang diri tanpa anak. Perasaan rindu tu pasti ada kan. Walau saya tidak pernah alami hal ini, saya boleh memahami hati seorang ibu kerana saya juga seorang ibu.

 

Walau jarang jumpa anak, ketahuilah rasa sayang ibu pada anak ini melebihi segalanya. Namun rasa takut dan risau tetap tinggi. Takut apa? Sebenarnya takut kehilangan anak ini. Ibu mana yang sanggup kehilangan anak yang dikandung selama ini. Sedangkan kalau tergugur pon sedih bukan main. Apatahlagi dah lahir ni kan.

 

Bayi pramatang dengan ibu

 

Sudah pasti kiriman doa dan kasih sayang lah yang menguatkan hubungan ibu dan bayi pramatang ini. Ada dulu kebanyakan hospital miliki polisi yang orang luar termasuk ibu dan ayah tidak boleh mendekati bayi pramatang yang sedang dirawat. Dari segi pandangan perubatan, hanya doktor dan jururawat lebih tahu bagaimana membantu bayi yang sakit ini. Yelah, mungkin takut terjangkit kuman ke apa juga kan.

 

Namun sekarang lebih banyak hospital yang lebih terbuka dan memberi ruang kepada ibu ayah kepada bayi pramatang agar ziarah bayi ini untuk memberikan kesan yang lebih positif pada perkembangannya.

 

Apa Perkara Yang Membantu Ibu Bapa Lebih Rapat Dengan Bayi Pramatang Yang Baru Lahir?

 

Ini antara perkara yang ibu ayah boleh lakukan untuk semakin rapat dengan bayi pramatang:

  • Panggil bayi dengan nama yang diberi kepadanya. Dari sini, bayi akan kenal ibu dan ayahnya dengan lebih rapat lagi.
  • Sentuh dan berinteraksi dengannya selalu. Sentuhan ibu dan ayah mampu merangsang tumbesaran dan keyakinan diri bayi pramatang
  • Sekiranya keadaan mengizinkan, susukan dan tukarkan lampin bayi.
  • Berinteraksi dengan jururawat yang menjaga bayi dan tanyakan perkara yang dibuat oleh bayi semasa ibu tiada. Kalau ibu tidak dapat bertemu jururawat akibat masih lemah, boleh rakam suara atau video jururawat tu untuk tatapan ibu nanti. Pasti ibu akan makin tenang. 🙂
  • Rekodkan suara ibu ayah dan bagi bayi dengar
  • Tinggalkan gambar keluarga dalam unit rawatan rapi
  • Tulis jurnal berkaitan perkembangan bayi beserta gambarnya. Secara langsung, ibu akan berasa rapat dengan bayinya.

 

Apa Itu Kangaroo Mother Care (KMC)?

 

Ibu ayah tau ke apa itu Kangaroo Mother Care?

 

Ia adalah sentuhan kulit ke kulit. telah dibuktikan dapat membantu perkembangan bayi pramatang. Ibu ayah boleh berbincang dengan doktor yang merawat bayi bagi menentukan masa yang sesuai bagi melakukan KMC.

Nanti saya terangkan lebih jelas pasal KMC ni ye.

 

Boleh ke Ibu Susukan Bayi Pramatang Yang Masih Di ICU?

 

Setiap ibu perlu ada ilmu berkenaan susukan bayi pramatang. Ini kerana kita tidak tahu bakal anak yang kita lahirkan nanti mana tau ada yang lahir lebih awal dari biasa. Banyakkan membaca dan bertanya pada yang pakar. Buat keputusan berdasarkan fakta dan maklumat yang tepat. Memilih untuk memberikan susu ibu kepada bayi dapat membantu bayi supaya cepat sembuh.

 

Ibu yang mempunyai anak yang ada masalah untuk menyusu di payudara jangan risau ye. Boleh berikan hasil perahan susu. Kolostrum tu sangat penting. Jangan dibiarkan ia kehabisan tanpa diberi pada bayi walau dia pramatang. Perah susu dan berikan kepada jururawat yang menjaganya. Teknik perahan yang betol perlu ibu ketahui. Sebabnya jika tersalah teknik, boleh buat payudara merasa sakit.

 

Bayi pramatang sedang menyusu susu ibu

 

Ibu perlu sentiasa pastikan kuantiti susu semakin meningkat sebagai persediaan membekalkan susu yang lebih banyak kepada bayi pramatang ibu nanti. Kerap memerah susu dan makan makanan sihat dan berkhasiat bagi tujuan dapatkan susu yang mewah dan mencukupi untuk bayi pramatang ibu.

 

Lebih cepat ibu memulakan sesi perahan, lebih tinggi peluang untuk ibu mendapat jumlah susu yang mencukupi untuk keperluan bayi ibu kelak. Lagi pula, jika tidak memerah susu dari payudara, susu akan berkurang kerana kurang rangsangan. Teknik perahan boleh digunakan untuk menggantikan teknik hisapan dari mulut bayi buat masa ini.

 

 

Panduan Memerah Untuk Bayi Pramatang Yang Belum Diberi Susu Ibu

 

Sudah tentu ibu yang miliki bayi pramatang perlukan ilmu tambahan dari biasa kan. Di sini saya kongsikan langkah langkahnya satu persatu dengan jelas. Ibu hanya perlu ikutinya. Nak hasilkan susu dari anak yang belum diberi susu ibu memang agak mencabar sedikit, namun ibu boleh lakukannya. Insyaallah.

 

  1. Basuh tangan dengan bersih sebelum memulakan sesi perahan. Berikan lebih perhatian kepada bahagian kuku. Pastikan kuku dipotong pendek dan tidak berdaki ye.
  2. Perah secepat mungkin selepas bersalin, sebaik-baiknya dalam masa 6 jam pertama selepas bersalin. Di saat ini kolostrum baru saja keluar. Dan ia sangat penting untuk bayi.
  3. Memerah kolostrum dengan tangan sebenarnya lebih efektif berbanding menggunakan pam. Teknik Marmet adalah teknik yang dapat dipraktikkan oleh ibu. Cuma cabarannya ibu akan mudah penat dan lenguh lah berbanding menggunakan pam.
  4. Perah susu sekurang-kurangnya 8 kali (sebaiknya 8 ke 10 kali) dalam masa 24 jam dengan 5 jam tempoh tidur pada malam hari. Pastikan ibu tidur 5 jam tau di waktu malam. Kalau tak cukup 5 jam ni, ibu boleh jatuh sakit pula.
  5. Simpan kolostrum di dalam picagari yang dicuci dengan bersih dan disteril sekiranya diarahkan oleh pihak hospital.
  6. Sekiranya ibu lebih selesa menggunakan pam, gunakan pam bergred hospital yang terdapat di hospital (sekiranya ada) ataupon disewa daripada mereka yang menawarkan perkhidmatan ini. Atau ibu boleh juga beli pam yang bersesuaian. Double pam sangat sesuai untuk memberi rangsangan sekaligus pada satu masa pada kedua-dua belah payudara. Ia menjimatkan masa.
  7. Catat dan rekodkan jumlah susu ibu yang berjaya dipam atau diperah oleh ibu pada setiap sesi.
  8. Dapatkan refleks ejeksi susu bagi membantu mengeluarkan lebih banyak susu. Refleks susu ini mungkin tidak dapat dirasai semasa memerah kolostrum. Sesetengah ibu hanya menyedari refleks ejeksi susu selepas beberapa hari melahirkan anak dan selepas kolostrum bertukar kepada susu matang.
  9. Cuba ibu berbincang dengan doktor dan jururawat bagi mendapatkan lebih privasi dan keselesaan semasa meemrah di hospital. Yelah, macam tak selesa kalau perlu memerah dalam keadaan tersorok sorok walau dalam nursing cover. Nanti orang dah boleh agak sedang buat apa tu. Lagi lagi golongan bapa bila terlihat. Tak manis dan tak selesa juga kan. Cuba minta untuk mengepam berhampiran bayi kerana pada masa yang sama refleks ejeksi makin tinggi dirasai oleh ibu.
  10. Cuci bekas dan alatan seperti yang tertera pada alat mengepam. Pisahkan semua alatan pam yang perlu dicuci. Cuci dengan air sabun yang suam dan bilas dengan air panas. Kemudian, biarkan ia kering dengan sendiri. Steril pam sekali dalam sehari.

 

Bagaimana Mahu Menyimpan Stok Susu Bagi Bayi Pramatang?

 

Ibu dan pihak hospital yang menguruskan bayi perlu ambil berat berkaitan dengan cara penyimpanan susu ibu bagi bayi pramatang. Ini kerana bayi ini tersangat lemah berbanding bayi yang dilahirkan dengan cukup bulan. Jika bayi yang normal tu pon kita sangat titik beratkan penjagaan kualiti susu, ini kan pula bayi pramatang kan?

 

Cara perahan dan penyimpanan susu mempengaruhi komposisi susu ibu dan memungkinkan pencemaran susu ibu berlaku. Kebersihan semasa sebelum memerah susu lagi sangat dititikberatkan oleh ibu. Pihak hospital mungkin memberikan picagari untuk menyimpan kolostrum yang diperah. Namun apabila susu dah makin banyak, ibu perlu menyimpan susu di dalam bekas yang lebih sesuai. Bekas kaca ataupon plastik (polypropylene) sesuai bagi tujuan menyimpan susu perahan kerana ia lebih stabil untuk kandungan nutrien dan antibodi dalam susu ibu.

 

Beg penyimpanan susu yang diperbuat daripada politena (polyethylene) tidak sesuai digunakan kerana ia menyebabkan kehilangan sel sel dalam susu ibu dengan ketara. Seeloknya, perah susu terus ke dalam bekas yang digunakan bagi menyimpan susu perahan bagi mengurangkan risiko pencemaran.

 

Simpan susu di dalam bekas susu yang sudah dicuci bersih dan ditutup rapat. Labelkan bekas itu dengan nama bayi, tarikh, nombor pendaftaran hospital bayi, dan ubat yang diambil oleh ibu. Ibu boleh mencampurkan susu daripada kedua-dua belah payudara di dalam bekas penyimpan bagi sesi perahan yang sama. Simpan susu perahan di dalam botol yang berasingan bagi sesi perahan yang berbeza.

 

Sesetengah unit rawatan rapi di hospital mempunyai garis panduan khusus bagi menyimpan dan mengendalikan susu perahan untuk bayi pramatang. Dapatkan maklumat berkenaan garis panduan itu sebelum mula memerah dan menyimpan susu perahan.

 

Mampukah Ibu Melakukannya?

 

Bagi ibu yang pernah susukan bayi secara direct dan anak sentiasa ada di sisi, ia biasa saja kan. Walau tetap ada juga cabaran, cabarannya tetap tidak sebesar untuk pastikan bayi pramatang dapat minum susu ibu sebanyak mungkin dalam tempoh tumbesarannya pada 2 bulan pertama ini.

 

Ada ibu tertekan kerana susunya masih tidak banyak selepas bersalin. Apabila diperah, hanya beberapa titis air susu yang akan keluar. Keadaan ini adalah normal terutamanya pada peringkat awal.

 

Walau hanya beberapa titis saja hasil perahan itu. Jangan dipandang sepi tau. Kolostrum tu sangat berguna dan ia tidak akan ada selepas ini. Simpan dengan baik walaupon ia sedikit saja. Ia sangat bagus untuk membantu mempercepatkan kematangan sel-sel usus bayi pramatang ni.

 

Sebenarnya kan, badan ibu baru menerima perubahan untuk menghasilkan susu. Mana boleh hari ni baru pam atau perah susu, hari ini juga susu melimpah ruah tak cukup peti ais. Berilah masa pada diri kita ye ibu. Kalau stress, lagi lambat susu nak keluar tau.

 

Apabila ibu sentiasa dan kerap pam mahupon perah susu dengan konsisten, makin cepatlah penghasilan susu ibu itu. Ibu perlu berikan komitmen yang sungguh tinggi dalam memastikan misi ini tercapai. Saya faham sangat bila susu tak ada ni. Dulu saya nangis nangis sambil pam susu tau. Yang keluar tak sampai pon 1 oz. Apa jadi pon kita kena sabar dan bertahan. Cuba kawal emosi. Saya dulu siap kunci jam sebab nak bangun pam susu untuk stok anak yang dah umur 6 bulan. Kalau saya anak yang dah mula makan tu pon saya kelam kabut nak buat, apatahlagi ibu yang baru je melahirkan bayi pramatang kan. Banyakkan bersabar dan lakukannya dengan konsisten.

 

Apabila ibu konsisten dalam memerah susu, insyaallah dalam hari ke 10 hingga ke 14 ibu boleh nampak perubahan kepada hasil perahan susu ibu. Kemungkinan boleh capai sehingga 600ml untuk sehari. Lebih kurang 21 oz. Kadang kala hasil susu perahan tidak sama walau tempoh waktu perahan adalah sama. Kerana hasil susu ibu juga melibatkan emosi, kesihatan, kesegaran dan pemakanan ibu.

 

Ibu mungkin ada kalanya rasa sukar untuk mengepam dengan konsisten di rumah apabila ibu dibenarkan pulang dan bayi masih berada di hospital. Ada kalanya ibu berasa putus asa. Itu perkara normal kerana perubahan hormon yang berlaku selepas bersalin, turun naik emosi ini biasa dialami oleh ibu.

 

Sekiranya ibu tinggal berjauhan dengan hospital, ibu mungkin perlu menghabiskanlebih banyak masa di hospital pada hari hari tertentu. Sekiranya ibu sukar pergi ke hospital pada setiap hari, pastikan susu ibu dihantar mengikut persetujuan yang sudah dicapai bersama pihak hospital. Ia juga bergantung pada stok susu yang ada di hospital untuk bayi.

 

Semasa di hospital, ibu dapat membantu jururawat memberi susu perahan kepada bayi. Ada masanya ibu dapat melakukannya sendiri tanpa bantuan jururawat. Ibu mampu menjadi sebahagian daripada pasukan yang merawat dan menjaga bayi. Jadi nanti bila balik ke rumah, ibu dah biasa dengannya. Kan mudah.

 

Cukupkah Susu Ibu Ni?

 

Kalau korang nak tau, Hospital St. Luke Medical Centre, Chicago, mempunyai polisi bagi penghasilan susu daripada ibu kepada bayi pramatang. Pengamal perubatan menilai jumlah susu yang dihasilkan oleh ibu pada hari ke 10 selepas bersalin. Sekiranya jumlah susu yang dihasilkan tidak memuaskan, mereka akan berusaha membantu ibu meningkatkan penghasilan susu.

 

Menurut polisi mereka, pada hari ke 10:

 

  • Ideal – Ibu menghasilkan susu sebanyak 750 ml (25 auns) dalam sehari ataupon 3 hingga 4 auns untuk setiap sesi perahan
  • Berjaga-jaga -Jumlah susu 350 ml hingga 500ml (11.5 hingga 17 auns) dalam sehari
  • Berisiko kurang susu – Jumlah susu kurang dari 350ml (11.5ml) dalam sehari

 

Teknik Untuk Meningkatkan Penghasilan Susu Perahan

 

Ni saya kongsikan tekniknya ye.

 

  1. Perah susu dengan lebih kerap dan lebih lama
  2. Boleh dapatkan makanan tambahan penggalak susu
  3. Elakkan mengambil ubat yang boleh mengurangkan penghasilan susu seperti ubat perancang kehamilan
  4. Perah berdekatan dengan bayi di wad
  5. Gunakan pam yang efektif bagi mendapatkan rangsangan yang maksimum
  6. Dapatkan bantuan keluarga untuk tolong uruskan rumah dan anak anak yang lebih besar buat sementara
  7. Dapatkan  sokongan suami untuk bantu mencuci pam
  8. Terus berdoa kepada Allah supaya memberikan rezeki dengan air susu yang banyak bagi kesihatan bayi. Doa adalah senjata ampuh untuk orang Islam.

 

Pada waktu ini, sokongan dari orang sekeliling sangat diperlukan oleh ibu tau.

 

Dari Tiub Ke Payudara

 

Tujuan utama menyusu di payudara bagi bayi pramatang pada mulanya adalah untuk mendidik bayi tadi menggunakan mulutnya dan tidak semestinya dia mendapat susu ibunya. Mulut bayi pramatang sudah melalui beberapa pengalaman seperti sedutan cecair, kemasukan tiub pernafasan dan makanan. Jadi bayi ni tak dapat nak mengkoordinasi hisapan, menelan, dan pernafasan yang diperlukan semasa menyusu di payudara.

 

Sebenarnya, bayi belajar banyak perkara berkaitan cara menghisap dan menelan yang betul semasa di dalam rahim pada bulan bulan akhir kehamilan. Bagi bayi pramatang, pengalaman ni tidak dapat dinikmati kerana dia dilahirkan lebih awal. Jadi bila keadaan mengizinkan, boleh terus memberi peluang untuknya merasai susu melalui payudara.

Silap Faham Penyusuan Di Payudara Untuk Bayi Pramatang

 

Ni antara silap faham yang selalu ibu beranggapan sebelum memulakan penyusuan di payudara.

  • Ibu menganggap bayi perlu mencapai berat ataupon umur tertentu sebelum menggunakan mulutnya bagi menyusu. Padahal tidak. Ia hanya perlukan persediaan dari bayi tadi
  • Ibu menganggap penyusuan perlu bermula dengan menggunakan botol sebelum menyusu di payudara.
  • Ibu menganggap bayi hanya mampu menyusu di payudara sekiranya bayi sudah “lulus” menyusu menggunakan botol.
  • Ibu menganggap penyusuan di payudara lebih sukar dan memerlukan lebih tenaga berbanding menyusu dengan botol

 

Sebenarnya, mengikut kajian yang terdapat pada banyak jurnal antarabangsa ini menunjukkan bayi memulakan penyusuan di payudara seawal 28 minggu mengikut umur kandungan dan mampu menyusu sepenuhnya di payudara tanpa bantuan melalui tiub ataupon menggunakan cawan apabila bayi berumur 36 minggu umur kandungan. Magik kan. Hebatnya manusia yang Allah cipta.

 

Penyusuan melalui payudara ni sebenarnya bantu membuatkan bayi pramatang ini dalam keadaan suhu yang lebih stabil dan degupan jantung serta kandungan oksigen tidak turun dengan mendadak berbanding menyusu melalui botol. Secara tidak langsung, ia mengurangkan tekanan ke atas bayi. Dan bayi kurang stress. Patutlah anak anak kita syok menyusu melalui payudara kan.

 

Fakta dari kajian juga menyatakan yang bayi menyusu di payudara lebih awal daripada keupayaan menyusu dengan botol. Penyusuan melalui payudara juga kurang memberi gangguan kepada pernafasan bayi semasa menyusu kerana bayi dapat mengawal jumlah susu yang mahu diambilnya pada satu-satu masa. Mekanisme hisapan daripada botol tidak membolehkan bayi mengawal kaedah hisapan dan pernafasan sehingga bayi meningkat ke umur tertentu.

 

Ibu belajar sesuatu dari perkongsian saya ini?

 

Jika ibu nak dapatkan vitamin untuk menambah susu badan ibu, ibu boleh baca di sini ye.

 

Di sini pula berkaitan pengalaman saya bagaimana saya bermula dalam penyusuan ibu ini dan berjaya susukan semua anak saya.

 

Boleh hubungi saya di nombor tertera jika nak tanya apa-apa pon ye. Saya sedia membantu insyaallah.

 

Salam sayang,

Master Ira & Hafizan

013-9422527

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *